Saturday, 3 September 2016

100,000

KENYATAAN MEDIA WIRA PERKASA MALAYSIA

03 September 2016 | 1 Zulhijjah 1437H

1. Merujuk kenyataan Sinar Harian pada 2 September 2016 yang bertajuk 100 000 yang menetap di Malaysia belum mendapat kerakyatan seperti yang didakwa oleh Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah, Wira Perkasa Malaysia membantah tindakan tersebut dan ia tidak perlu diteruskan jika tidak mengikut perlembagaan negara.

2. Dalam perlembagaan negara perkara 16 ada menyatakan tentang Kewarganegaraan melalui pendaftaran (orang yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka) yang menyebut bahawa tertakluk kepada Perkara 18, apabila permohonan dibuat kepada Kerajaan Persekutuan oleh mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan-
(a) bahawa dia telah bermastautin di Persekutuan dalam masa tujuh tahun sebaik sebelum tarikh permohonan itu, selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah tidak kurang daripada lima tahun;
(b) bahawa dia berniat hendak berbuat demikian secara tetap;
(c) bahawa dia berkelakuan baik; dan
(d) bahawa dia mempunyai pengetahuan asas Bahasa Melayu.

3. Jadi jika merujuk kepada perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara, adakah semua yang disebut telah dipatuhi? Jika tidak bagaimana kerajaan dapat meluluskan permohonan mereka. Jika ya mereka harus melalui aturan operasi standart atau S.O.P yang ditetapkan. Bukan hanya melepasi sebahagian perkara yang disebut sahaja dalam perlembagaan.

4. Dalam kenyataan beliau menyebut mereka sukar mendapat kelulusan akibat kegagalan dalam temuduga yang melibatkan pertuturan bahasa Malaysia. Dalam perkara ini yang paling penting adalah pengetahuan dalam bahasa Melayu. Jika tidak ada pengetahuan bagaimana dengan mudah mereka mendapat kerakyatan negara ini. Umum mengetahui mana-mana negara pun pasti akan mengutamakan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa di negara masing-masing.

5. Jadi dalam hal ini beliau mungkin terlepas pandang dalam perkara 16 yang menyebut mempunyai kemahiran dan pengatahuan asas bahasa Melayu. Apalah ertinya warganegara Malaysia tidak tahu dan mahir dalam bertutur bahasa Melayu. Bagaimana nanti kita mahu menggambarkan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa tapi tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu. Perkara ini akan memalukan negara kita.

6. Wira Perkasa Malaysia menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar baca dan fahamkan perkara yang termaktub dalam perlembagaan. Kesemua perkara yang termaktub ini dibuat demi menjaga kedaulatan negara Malaysia dan bukanlah menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Sekian
Irwan Fahmi Ideris
Ketua Wira Perkasa Malaysia

Zikir 10 hari.